
Aktifkan semula FB
Aku bengang jugalah dengan FB ni. Beberapa hari lepas waifu kata FB aku aktif semula. Jadi untuk mengesahkannya, aku pergi ke google dan taip nama aku. Memang betul dah aktif balik. Memang ada aku pilih nak deactivate selama seminggu, sebab lebih seminggu tak ada pilihan tu. Nak senang, dah sebulan ni, seminggu sekali memang aku deactivate balik.
Tapi nampaknya sekarang aku nak kena aktif baliklah sebab ini adalah antara strategi aku nak seimbangkan offline dan online marketing takaful. Berdasarkan pengalaman kawan-kawan dalam circle takaful ni, ada ramai juga yang dapat client dari sana. Tapi objektif aku bukan setakat dapat client.
Aku merumuskan macam ni, aku nak semua media sosial aku sekarang menghunuskan mesej seperti dibawah:
- Aku seorang pakar berkenaan takaful dalam Malaysia
- Aku seorang pakar nasihat kewangan peribadi
- Aku seorang pakar rekaan grafik
Nombor 1 dan 2 adalah apa yang aku perjuangkan semenjak tahun 2017 dan nombor 3 pula adalah passion. Nampaknya aku dah perlu mula untuk menulis semula merangkumi 3 topik di atas ni.
Last post update dalam 2 Januari 2017 dan aku aktif menulis semula dalam 2 Februari 2017. Sebulan bertapa dalam gua. Sebenarnya tak adalah bertapa sangat cuma masa tu aku isi untuk buat benda lain yang lebih bermanfaat. Aku cuma nak tulis semula lepas konflik dalaman aku sendiri pasal aktiviti menulis secara freelance di portal Cari.my.
Dalam portal cari.my tu target aku adalah untuk dapat duit. Jadi aku boleh klasifikasikan content ‘bodoh’ yang aku tulis luar norma passion aku. Jadi masa pun makan banyak sebab aku nak menulis benda luar bidang. Jadi, dari pengamatan aku dan habuan aku dapat sebanyak RM 15 untuk 1 artikel tidak berbaloi.
Ye, RM 15 untuk 1 artikel.
Katanya content ringan, tapi content ringan dimaksudkan tu memerlukan masa antara 7-8 jam seminggu untuk buat. Berbaloi ke masa dan duit aku dapat dari sana?
Berbaloi untuk duit, mungkin tidak. Apa yang berbaloi pada aku hanyalah pengalaman. Pengalaman untuk menulis dengan lebih pantas dan teknik mencari topik yang popular untuk pembaca.
Sampai bila aku nak menulis kat sana?
Sampai income aku stable semula seperti dahulu kala… Buat masa ni hadaplah….
Betul ke riba’ adalah pilihan?
Topik muammalat Islam sebenarnya adalah topik yang sangat meluas jika mahu dikupas. Ianya tidak cukup hanya bercakap sedikit-sedikit berkaitan setiap komponen muammalat itu sendiri. Tapi asasnya kita sebagai muslim/ muslimah yang mencari keredhaan Allah dalam kehidupan, muammalat berasaskan Al-Quran dan hadis menjadi panduan kita. Antara komponen dalam muammalat Islam yang selalu dibincangkan adalah Riba’. Dalam artikel ini akan dibincangkan, betul ke Riba’ adalah pilihan?
Bagi menggambarkan apakah itu riba’ yang perlu kita jauhi, contoh di bawah adalah seronok di beri kerana situasi ini selalu dilalui oleh anak muda kita dalam urusan kehidupan. Antara nombor 1, 2, 3 dan 4, manakah transaksi riba’ boleh berlaku?
Sebagai seorang graduan yang baru bekerja, anda mahu membeli sebuah kereta sebagai wadah pengangkutan dari rumah ke tempat kerja. Jaraknya gak jauh dan anda mahu menggunakan kereta. Harga kereta tersebut adalah RM 60, 000. Ada beberapa institusi kewangan dan syarikat kenderaan yang menawarkan pembiayaan dan pinjaman seperti dibawah:
1 . Harga kereta tersebut adalah RM 60, 000 sekiranya anda mahu membeli secara tunai.
2. Pihak syarikat memberikan ansuran pembayaran selama 5 tahun sekiranya anda tidak cukup wang dengan jumlah pembelian adalah RM 70, 000.
3. Kadar faedah sebanyak 4% dalam tempoh 5 tahun dikenakan kepada anda sekiranya anda mahu membuat pinjaman 100% dari jumlah harga kereta diimpikan.
4. Kami panjangkan tempoh hutang dengan tambahan 8% faedah pinjaman sekiranya anda tidak dapat melangsaikan ansuran bulanan mengikut masa yang ditetapkan.
Di sini harus diingat bahawa bank adalah institusi kewangan dan entiti perniagaan. Mereka semangnya perlukan keuntungan. Kerana untunglah mereka berniaga. Siapa pula yang berniaga mahu rugi bukan?
Jadi mana satu transaksi yang tidak mempunyai unsur riba’?
Pilihan 3 dan 4 adalah yang mengandungi riba’ yang jelas berbanding 1 dan 2. Pilihan 1 tiada langsung riba’ kerana transaksi berlaku kerana jualan dilakukan secara tunai. Akad jelas dan setelah wang dibayar, kita boleh terus dapat kereta tersebut. Mudah bukan? Masalahnya sekarang siapa berani membawa RM 60, 000 dalam dompet? Kalau ada pun, ianya di bank bukan ditangan. Selalunya kita tidak ada pun RM 60, 000 untuk ini, jadi pilihan kedua menjadi perhatian seterusnya.
Apakah yang membezakan status halal antara pilihan 2 dengan 3 dan 4? Secara mudahnya, ada 4.
1. Perbezaan dari segi kontrak.
Kontrak jual beli digunakan dalam transaksi nombor 2. Pada pilihan nombor 3 dan 4 pula, kontrak riba. Anggap kita membeli kereta dengan bank tadi pada harga RM 70, 000 dan bank pula membeli kereta pada harga RM 60, 000 pada penjual kereta. Terma mudahnya pihak bank menjual semula (Resell) kepada kita.
Allah berfirman;
” Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang kembali (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.”
(Surah Al-Baqarah: 275)
2. Jelas harga jualannya.
Rujuk semula point pertama iaitu transaksi ini adalah kontrak jual beli yang mana harganya kita tahu. Jelas dan terang menunjukkan RM 70, 000 adalah harga yang kita beli dari pihak bank. Jika dibandingkan pilihan 2 dan 3, yang mana nilai faedah akan dikenakan selagi hutang pokok tidak dilunaskan.
Contoh lain adalah apabila kita membeli rumah, kadar faedah yang ditetapkan Bank Negara Malaysia (BNM) adalah berbeza-beza setiap tahun mengikut kekukuhan ekonomi kita. Dekat sini kita sudah ada ‘uncertainties’ atau ketidakpastian dalam jumlah pinjaman.
3. Ada riba’ jahiliyyah
Riba jahiliyyah adalah riba penanguhan yang mana riba ini dikenakan sekiranya pembayaran tidak mengikut jadual yang ditetapkan. Apabila bank yang menawarkan pembiayaan kewangan islam telah menetapkan harga jualan, harga itu adalah tetap dan tidak berubah selagi kontrak tidak terbatal.
Walaupun hasilnya lumayan, tetapi ia tetap riba’ dan bagi perbankan islam, denda lewat bayar pula ditetapkan oleh BNM bukan suka-suka hati pihak bank nak jadi ceti kutip duit kita. Hasil riba’ memang banyak tetapi ia tetap akan habis seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud, Nabi Muhammad bersabda;
“Walaupun hasil dari riba itu banyak, tetapi akhirnya ia akan mengecil (habis).”
(Ibn Majah dan Ahmad)
4. Redha dan keberkatan Allah
Firman Allah;
“Allah memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang tetap dalam kekafiran, dan selalu berbuat dosa.”
(Surah Al-Baqarah: 275)
Ini lah yang harus kita cari dalam kehidupan kita kerana sesungguhnya riba’ adalah haram hukumnya dan patut kita elakkan.
Kesimpulan
Walaupun banyak perdebatan antara sistem perbankan Islam yang kini mendapat sambutan, namun ianya adalah usaha segelintir umat Islam yang peka terhadap ekonomi yang pernuh baroqah seharusnya kita nikmati. Ianya adalah pilihan kepada sistem perbankan konvensional sekarang. Pilihan adalah perkataan terbaik boleh digambarkan kerana disitu tiada istilah “terpaksa”.
Dah faham sekarang?
Rasa-rasa hutang PTPTN kita pula bagaimana?
Mempengaruhi anak-anak ada caranya,ini ada 7 teknik asas yang boleh dibuat
Mendidik anak adalah satu tanggungjawab yang besar namun tidaklah berat seperti yang disangka sekiranya ramai daripada kita tahu teknik yang lebih efektif untuk mendidik mereka. Teknik dan taktik tersebut adakalanya perlu di ‘upgrade’ dari masa ke semasa atas pelbagai faktor antaranya umur dan tahap kematangan. Dalam artikel ini akan dikongsikan bersama 7 teknik asas untuk mendidik anak yang boleh dibuat.
- Hubungan mata atau ‘eye contact’
Ramai antara kita sebagai ibu bapa yang tidak menggunakan hubungan mata dengan betul. Selalu yang berhubung adalah tangan di badan mereka atau cubitan berbisa hinggap di perut. Sekiranya kita meluangkan sedikit masa untuk memandang anak ketika bercakap, ini akan memudahkan proses pemahaman mereka terhadap arahan yang kita beri. Mereka akan dapat melihat ‘keseriusan’ kita dalam meyampaikan mesej itu melaui riak wajah dan bahasa tubuh. Mereka akan ‘serius’ juga dalam melaksanakan arahan tadi.
- Rendahkan badan ketika bercakap.
Rendahkan sedikit badan dengan bercakap pada ketingan anak itu atau ‘eye level’ dia. Daya pengamatan anak-anak adalah terhad dan ia meningkat mengikut peringkat umurnya. Disarankan untuk anak-anak kecil untuk bercakap serapat mungkin dengan dia kerana ia akan melambangkan kita mudah didekati. Lakukannya dan lihat perubahan mereka ketika menggunakan teknik ini.
- Riak wajah
Ekspresi wajah sangat memainkan peranan terutama pada anak-anak yang kelainan upaya pendengaran. Ini kerana melalui ekspresi wajah tadi, kita telah memberikan isyarat bahawa status perasaan kita pada ketika itu sama ada gembira, sedih atau marah. Kita juga dapat membaca riak wajah anak sebagai tindak balas apabila mereka mendapat arahan atau mesej yang kita sampaikan.
- Buat bersama
Lakukan bersama-sama anak anda adalah salah satu contoh yang boleh kita lakukan disamping merapatkan hubungan antara kita dengan anak. Contohnya sekiranya kita mahu mereka makan dengan sopan dan teratur, maka kita buat bersama-sama mereka cara makan sopan dan teratur. Bahasa lainnya adalah ‘lead by example’ dan cara ini akan melambangkan kita pandai cakap serta pandai buat. Nilai kita tunjukkan tadi mudah-mudahan dapat diikut mereka.
- Kurangkan atau berhenti melabel (labeling)
Melabel adalah perkara yang paling tidak enak dilakukan dihadapan anak. Perkataan seperti ‘degil’, ‘bongok’, ‘lembab’ dan seumpamanya akan tertanam dalam minda anak tadi. Sekiranya ia disebut berulang-ulang, maka anak tadi akan beranggapan yang sifat tadi adalah sebahagian dari dirinya. Disini akan mengurangkan keberkesanan mesej yang kita mahu sampaikan kepada anak. Seeloknya buang terus tabiat ini.
- Riak tubuh atau bahasa tubuh
Selalunya ibu bapa Asia kurang mengekspresikan bahasa tubuh dengan betul. Pada mereka bahasa tubuh yang betul adalah sentuhan tubuh atau ‘body contact’. Contohnya seperti cubit dan sekeh dikepala anak. Hulurkan maksud positif lebih banyak melalui bahasa tubuh seperti anggukan, tepukan atau bahasa jawanya ‘cap jempol’ kepada anak. Mesej ini akan memberikan isyarat bahawa anak telah melakukan tugasan dengan baik dan anda gembira dengan hasilnya.
- Fokus kita bila bercakap
Ibu bapa yang sibuk sedikit sebanyak kurang ambil perhatian ketika bercakap dengan anak. Ibu selalu berleter panjang tanpa isi yang konkrit dan ayah pula sambil bercakap, membaca surat khabar atau terdampar di sofa separa sedar. Fokus ketika bercakap dengan anak dengan cara berhenti membuat kerja yang sedang dilakukan. Tidak lama pun kalau ikutkan. Cukup sekadar berhenti seketika dan meneruskan kembali perkara yang sedang dilakukan selepas bercakap.
Sekiranya majoriti dari 7 cara ini kita gunakan, anak akan lebih memahami atau sedia menerima arahan tanpa perlu kita seringkali ingatkan. Namun begitu, usaha ini adalah usaha berterusan dan memang akan menguji kesabaran kita. Iyalah, anak-anak bukan robot yang boleh diprogramkan. Mereka pun kadangkala seperti kita, nakal bukan main.
Tak begitu?
7 komponen asas perancangan kewangan, no 5 selalu gagal dibuat
Umumnya perancangan kewangan yang baik adalah mempunyai flesibiliti yang sedikit sebanyak boleh berubah mengikut status kewangan semasa. Namun begitu, ada banyak komponen perancangan kewangan yang perlu diambil kira selain 4 fasa yang dibincangkan dalam post lepas. Mari kita lihat, apakah 7 komponen asas perancangan kewangan yang harus kita tahu.
- Jana pendapatan dari pelbagai sumber.Sumber pendapatan adalah komponen paling utama dan ianya merupakan fitrah dalam menguruskan kewangan peribadi. Ada yang menjadi fitrahnya adalah bekerja makan gaji dan pendapatan dari berniaga. Bagi yang kreatif, mereka boleh menjana pendapatan sampingan untuk menambah pendapatan sedia ada. Antara pendapatan sampingan yang boleh dijana adalah meniaga secara atas talian, ejen takaful atau menjadi perunding kewangan unit amanah.
- Membuat belanjawan kewangan peribadi dan laksanakannya.Membuat belanjawan kewangan peribadi tidaklah semudah yang disangka. Ada banyak pecahan komponen lain didalamnya yang perlu diambil kira. Setiap formula sesuai digunakan pada sesuatu keadaan kewangan sesorang itu. Jangan pula kita ambil mudah perancangan belanjawan peribadi kerana ‘tersontot’ disini boleh mengundang pacdah yang pedih. Selepas tu, proses melaksanakan belanjawan dengan penuh berhemah wajib dilakukan. Tiada maknanya belanjawan dibuat jika kita tidak melaksanakannya dengan istiqamah.
- Rangka tabungan seumur hidupTabungan atau simpanan adalah usaha yang berterusan secara berperingkat-peringkat. Ianya bertujuan untuk membina kekayaan pada masa hadapan yang lebih kukuh dengan asas yang padu. Antara tabungan seumur hidup yang popular adalah tabungan KWSP atau tabungan persaraan. Tabungan itu hanya boleh digunakan sepenuhnya ketika umur bersara nanti. Apakah kita ada alternatif lain sekiranya institusi seperti KWSP tidak memberikan pulangan tabungan yang tinggi dalam bentuk dividen dan sebagainya?
- Teroka bidang pelaburanMengikut fasa kewangan yang telah dibincangkan pada artikel yang lepas, pelaburan dilakukan apabila fasa simpanan dan perlindungan sudah dilaksanaakan. Fasa pelaburan adalah fasa yang menyeronokkan kerana pada ketika ini, ilmu kewangan peribadi kita sudah mantap dengan asas yang kukuh. Bila ‘backup cash’ besar, kita akan lebih berani meneroka bidang pelaburan yang tinggi risiko bersama pulangan yang tinggi. Antara platform pelaburan yang mempunyai risiko dan untung yang tinggi adalah saham atau ‘stocks market’. Bayangkan dalam masa 30 minit anda mampu kaut untung RM 30,000 atau rugi RM 30,000. Kalau ‘backup cash’ besar, tiada masalah untuk rugi RM 30,000 kan?
- Hutang perlu diurus dengan baikHutang hukumnya harus. Harus diingat juga yang hutang juga boleh menjadi pemangkin atau beban. Teknik ‘snowball’ adalah teknik yang selalu digunakan untuk melangsaikan hutang dengan lebih efektif dan teratur. Namun begitu jika salah berhutang, ianya boleh melambatkan proses kita untuk mengumpul harta. Kat sinilah pepatah ‘lagi besar periuk, lagi besarlah keraknya’ kerana hutang sepattutnya tidak membesar bersama-sama pendapatan. Setuju?
- Tahu fungsi takaful/ insurans untuk lindungi kewanganJangan pening dan bingung apakah pelan takaful atau insurans yang terbaik sekiranya anda keliru. Apa yang anda perlu tahu adalah fungsi utamanya adalah untuk melindung. Sekiranya anda sudah mempunyai polisi takaful atau insuran, tahniah diucapkan. Tapi tahukah anda apakah item yang takaful atau insurans anda lindungi? Sekiranya tidak, boleh terus hubungi ejen anda dan minta beliau terangkan dengan terperinci kerana pada komponen inilah selalu kita lepas pandang.
- Zakat dan bersedekah untuk makmurkan hartaSemua agama menuntut penganutnya bersedekah, apatah lagi jika anda seorang muslim atau muslimah. Barakah dalam setiap sen yang kita hulur untuk sedekah ianya adalah lebih baik dari tidak memberi langsung. Kita boleh terus infaqkan harta kita dari potongan gaji. Ada juga potongan cukai sekiranya kita membayar zakat. Bukan untuk orang lain, untuk memakmurkan ekonomi ummat Islam sejagat. Tak rugi pun.
Ketujuh-tujuh komponen asas kewangan peribadi tadi adalah antara faktor yang perlu diambil kira dalam merancang perjalanan kewangan peribadi yang lebih mantap pada masa akan datang. Kenapa mahu tunggu? Mari lakukannya sekarang!
Antara konsep zuhud dan kewangan peribadi yang ramai salah faham

Seseorang individu yang mempunyai perbelanjaan yang minima dan simpanan yang banyak sebenarnya bukanlah orang yang zuhud sebenar-benarnya. Jika terdapat orang yang sedemikian menjadi rasionalisasi kepada setiap tindak tanduk kewangan peribadi beliau, orang sebegini kita boleh gelarkan sebagai penyimpa/ penjimat dan bukannya zuhud. Jadi, apakah zuhud dan kaitannya dengan kewangan peribadi?
Zuhud adalah sifat hati yang seua orang boleh miliki dalam pelbagai keadaan kewangan sekalipun. Ianya tidak bergantung kepada status simpanan, pendapatan atau perbelanjaan individu. Maknanya kat sini, Zuhud adalah urusan hati. Hati disini bermaksid, hati yang tidak diterajui dan dikudakan dunia. Mereka tidak sedih jika ke hilangan barang materialistik dan juga tidak terlalu gembira jika mendapatkannya. Jadi hatinya diarahkan 100% pada ukhrawi dan bukan pada duniawi, begitu?
Tidak juga. Ianya bukan 100% kepada ukhrawi sehinggakan pelbagai urusan duniawi dilupakan. Ukhrawi dan duniawi perlu bergerak seiring dan tidak boleh lebih antara satu dengan yang lain. Fungsi kita sebagai khalifah Allah perlu melaksanakan tanggungjawab memakmurkan bumi Allah ini, jadi fokus kita tidak boleh ukhrawi sahaja.
Allah berfirman dalam Al-Quran bermaksud,
“agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang luput dari kami, dan tidak terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu.” (Al-haddid:23)
Ianya diulas oleh Imam Ali bin Abi Tholib dalam Nahjul Balaghah:
“Keseluruhan zuhud ada pada dua kata dari Al-Quran, Iaitu ketika Allah berfirman
-Agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang luput dari kami, dan tidak pula terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu.-
Maka barangsiapa yang tidak menyesal atas apa yang hilang darinya dan tidak terlalu gembira dengan apa yang telah didapatkannya maka dia telah menguasai kezuhudan dari kedua sisinya.”
Konsep zuhud yang sebenarnya bukan bergantung kepada pendapatan yang tinggi, penjimatan dalam berbelanja atau simpanan yang tinggi. Jangan pula kita selepas ini menyalah anggap mereka yang selalu berjimat cermat ini golongan zuhud. Sesiapa sahaja boleh menjadi zuhud selagi dia mengimbangi urusan ukhrawi dan duniawi dengan baik.
“Tak beli kereta kenapa bang,” tanya Hamid. Karim membalas, “Zuhud bang,”
Jangan kita menyalahkan konsep zuhud tersebut hanya kerana kereta. Kereta bukan lambang ke-zuhudan kita, tapi keperluan. Belinya mengikut keperluan dan bukan kerana untuk bermegah-megah, riak dan ujub. Fokuskan hati kita untuk tenang dengan urusan dunia dan tidak bersedih atau menyesali apa yang kita hilang darinya.
Urus kewangan peribadi dengan lebih baik, insyaAllah akan buat kita lebih zuhud kelak.
Tak begitu?